

PRU12 memberikan satu impak besar terhadap suasana politik Malaysia dan satu kejutan menggegarkan UMNO. Ianya juga memberikan senyuman manis kepada ahli dan pemimpin parti-parti pembangkang DAP, PAS dan PKR.
Tiada yang mustahil! Kejatuhan BN di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mengejutkan dan Kelantan kekal bersama PAS dan Kuala Lumpur menjadi kubu baru bagi Pakatan Rakyat. Berbagai tragedi dan kejadian yang tidak disangka berlaku bertali arus dari hari keputusan PRU12 hinggalah ke hari ini. Pelbagai isu dan bermacam berita panas berlegar di ruang politik dan sosial Malaysia. Kisah MB yang tidak jadi, kisah penarikan diri, isu beli dan lompat parti menghiasi dada akhbar dan media baru.
Yang masih belum reda isu Perdana Menteri yang diminta turun dari kerusi empuknya. Timbalannya, saudara Najib pasti sedang bersedia untuk naik kerana setakat ini tiada tokoh yang berpotensi atau mempunyai peluang menggantikan saudara Abdullah Badawi perdana menteri kita.
Disatu sudut pula, saudara Anwar Ibrahim terus melangkah dengan semangat baru, bukan sahaja kerana kegemilangan yang dikecapi Pakatan Rakyat dalam PRU12 malah detik 12 malam 14hb. April 2008 akan berakhirlah sekatan yang menghalang beliau aktif dalam politik. 14hb April yang lebih mahsyur dengan nama Black 14 akan terus hidup, bukan dalam gelita lagi, sebaliknya semakin bercahaya. Dengan senario sekarang, ramai sudah berani menjangkakan bahawa saudara Anwar mampu menempatkan dirinya sebagai PM!
Jika saudara Abdullah Badawi turun dari kerusi PM sebelum saudara Anwar naik itulah lebih baik dari segi moralnya. Biar berundur tetapi jangan diturunkan dengan malu. Contohilah saudara Mahathir dalam hal turun ini. Itu lebih manis untuk saudara Abdullah Badawi. Biarlah Timbalan Perdana Menteri sekarang naik sebentar dan terpaksa diturunkan nanti. Bunyinya seperti sukar dan susah untuk dipercayai, namun PRU12 telah membuktikan tiada apa yang pelik dalam politik Malaysia hari ini. Saya percaya saudara Anwar Ibrahim mempunyai harapan cerah untuk menjadi PERDANA MENTERI MALAYSIA pada suatu hari yang terdekat. Suatu yang ada pihak tidak suka dengar tetapi harus ingat tiada yang mustahil dalam hal sebegini.