Bumbung sekolah runtuh: Kementerian Pelajaran didakwa tidak prihatin

Bumbung sekolah runtuh: Kementerian Pelajaran didakwa tidak prihatin - KUALA TERENGGANU, 14 April (Hrkh) - Kementerian Pelajaran Malaysia cukup tidak prihatin dengan masalah keselamatan bangunan sekolah apabila bumbung Sekolah Menangah Wakaf Tapai tiba-tiba runtuh pada malam Jumaat lepas. [Harakah Daily]

Malang tidak berbau! Tetapi malang boleh dihindar dan malang boleh diminimakan. Dalam banyak kes seumpamanya sebelum ini faktor utama kemalangan sering berkait dengan kecuaian manusian itu sendiri. Kemalangan jalan raya kerana kecuaian pengguna dan pemandu kenderaan. Bangunan runtuh, lantai runtuh, atap bocor, tangki bocor, syiling bocor dan banyak lagi kebocaran dan ketirihan berlaku akibat kelalaian dan kesilapan manusia yang terlibat.

Pembinaan tidak mengikut spesifikasi juga adalah faktor manusia! Mengapa hal demikian berlaku? Apa sebenarnya masalah ini berulang? Untuk menjawabnya, saya kira, yang terlibat tentu lebih tahu. Kontraktor, jurutera, arkitek dan agensi yang terlibat pasti tahu apa masalah sebenarnya. Kita tidak mahu mendengar ianya adalah kerana RASUAH kerana kita sudah penat dan letih dihempap isu rasuah.

Siasatan demi siasatan dijalankan, namun hal runtuh bocor dan ranap berlaku berulang kali. Apakah siasatan dan tindakan yang dibuat hanya sekadar untuk memenuhkan kertas repot dan sekadar untuk berita tanpa satu tindakan yang berkesan?

Dalam tiada ribut taufan atau gegar gempa bumbung runtuh. Kita tidak dapat bayangkan jika kejadian berlaku ketika beratus anak anak berada dibawahnya. Tatkala ada nyawa melayang barulah terngadah. Biasanya begitulah. Pemantauan hanya jika ada kes kematian atau kes yang berprofil tinggi.

Dulu sibuk pusat komputer tergendala, di Putra Jaya banjir di dalam bangunan. Tidakkan kita belajar dari kesilapan? Atau sememangnya fenomena sebegini telahpun diterima pakai dan diiktiraf sebagai "budaya kita".

Bagaimana pula dengan dewan dewan lain (yang diarahkan tutup selama 30)? Apa kata semua dewan dewan tersebut diisytiharkan tidak selamat? Apakah dewan baru berharga RM2 juta itu akan diruntuh dan bina yang baru?

Persoalan persoalan di atas sebenarnya patut dijawab semasa perancangan bukan setelah projek siap. Nasi sudah hangus. Kalau bubur masih boleh dimakan! Beginilah jika urusan dilaksana tanpa perancangan yang betul. Janji buat. Janji masyuk kata orang sekarang!